Takdir ALLAH SWT kepada seseorang insan adalah berbeza dengan insan lain. Ada orang yang ditakdirkan dengan derita, kala orang lain menerima takdir bahagia. Ada yang bahagia, kala ada yang sedang berduka. Namun, semua itu adalah takdir daripada yang maha esa.
Takdir ALLAH juga tidak pernah dapat diramal, apa yang disangka itu tewas, maka ALLAH pula menentukan sebaliknya. Ada orang yang mahukan sesuatu itu menjadi begini dan begitu, namun takdir ALLAH menentukan sebaliknya. Itulah takdir yang tidak mampu ditelah fikiran manusia.
Namun sebagai hamba yang yakin dengan segala ketentuan, sudah pasti kita disarankan untuk tunduk dan akur kepada setiap keputusanNYA. ingat lah antara kesan dan hasil kita beriman dengan takdir dan ketetapan ALLAH ialah hati menjadi tenang.
Bukan itu sahaja, bahkan hati yang sifatnya berbolak balikitu, tidak pernah risau dalam menjalani hidup ini. Sebagai contoh, seseorang telah ditimpa musibah yang teruk. Pada pandangan manusia lain, sudah tentu kita akan menangisi apa yang berlaku dan sukar untuk menghadapinya.
Namun, bagi mereka yang beriman dengan takdir ALLAH, hati mereka tenang dan tidah gundah gulana. Bahkan, kerana yakin musibah yang berlaku itu adalah takdir, maka dia yakin bahawa perkara berkenaan pasti terjadi dan tidak mungkin dapat lari daripadanya.
Yakinlah, apabila seseorang itu memahami takdir ALLAH dengan benar, tentu dia akan lalui segala musibah penuh ketenangan. Perkara ini pasti berbeza dengan orang yang tidak beriman pada takdir dengan benar.
Hidup mereka pasti diiringi dengan kesedihan. Apa yang mereka rasakan hanyalah kegundahan dan kegelisahan. Mereka sukar untuk menerima sesuatu takdir, malah bimbang ada yang seolah olah menyalahkan takdir keatas dirinya. Inilah dimensi yang berbeza bagi orang yang beriman dan yang tidak beriman dengan takdir ALLAH...
No comments:
Post a Comment